Kalau Aku Mampu | Kool FM
Home > Dramatik Kool > Kalau Aku Mampu > Kalau Aku Mampu

Kalau Aku Mampu

Kalau Aku Mampu

Sinopsis

Rokiah seorang wanita kampung berusia 40-an. Sudah kematian suami. Mengerjakan sawah padi tinggalan orang tuanya. Tinggal bersama seorang anak lelaki (remaja) dan seorang anak perempuan OKU (lembam) yang berusia sebelas tahun. Rokiah baru disahkan oleh doktor mengidap penyakit leukimia. Dia bimbang memikirkan siapa yang akan menjaga anak-anaknya jika ajal datang menjemputnya nanti. Rokiah teringatkan adiknya Julie (Juriah), yang sudah 12 tahun tidak pulang ke kampung gara-gara kecil hati dengan keluarga. Rokiah tidak ada pilihan, dia menghubungi Julie, malangnya Julie seperti tidak berminat untuk bertemu semula dengan kakaknya itu. Tidak lama selepas itu, kebetulan perniagaan kosmetik Julie mengalami kerugian, Julie diistiharkan bankrap. Julie yang kecewa dan kehilangan arah, mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Kepulangan Julie disambut gembira oleh Rokiah, namun Julie seolah-olah masih marah dengan kakaknya, kerana peristiwa lalu. Rokiah merahsiakan penyakitnya daripada Julie, manakala Julie pula merahsiakan keadaan dirinya yang gagal dalam perniagaan dan tiada tempat untuk dituju. Bermula kehidupan Julie di kampung, bersama Rokiah dan anak-anaknya. Julie seorang wanita yang kasar, tidak dapat menyesuaikan diri dengan anak-anak Rokiah. Julie rimas kerana Rokiah seakan bersungguh-sungguh mahu anak-anaknya rapat dengan Julie. Pada Julie, anak-anak Rokiah ialah anak-anak yang bermasalah dan membebankan. Anak tunggal Rokiah yang berumur 18 tahun merupakan seorang kutu rayau dan biadab, manakala anak angkat Rokiah seorang kanak-kanak lembam yang terlalu manja dan tidak boleh menjaga diri sendiri. Julie berkira-kira untuk tinggalkan kampung dan tinggal bersama kawannya di Kuala Lumpur. Pada suatu hari, berlaku salah faham antara Rokiah dan Julie, kerana Julie menuduh anak lelaki Rokiah mencuri duitnya. Julie kecewa dengan Rokiah kerana kakaknya itu mempertahankan anaknya daripada Julie. Hubungan Rokiah dan Julie yang renggang, bertambah buruk selepas itu. Julie mengambil keputusan untuk pergi. Kebetulan pada masa yang sama, anak lelaki Rokiah ditangkap oleh orang kampung kerana mencuri motorsikal. Rokiah kecewa dan malu. Rokiah meminta maaf daripada Julie dan pinta Julie jangan pergi. Julie yang keras hati, nekad mahu meninggalkan keluarganya. Julie bertikam lidah dengan Rokiah. Rokiah tiba-tiba pengsan dan dimasukkan ke hospital. Sejak kejadian itu baru Julie tahu Rokiah mengidap penyakit leukimia. Julie dalam dilema, dia simpati atas nasib Rokiah, tetapi dia tidak bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar, untuk menjaga Rokiah dan anak-anak saudaranya itu. Pada suatu hari, anak perempuan Rokiah hilang akibat kelalaian Julie. Rokiah menyalahkan Julie manakala Julie pula mempertahankan dirinya. Rokiah dan Julie bergaduh besar. Julie menangis dan meluahkan perasaannya kepada Rokiah. Julie rasa sejak dari kecil lagi ibu bapa mereka sering melebihkan Rokiah dalam segala hal. Malah apabila mereka dewasa, ibu bapa mereka selamba menjodohkan Rokiah dengan lelaki yang disukai oleh Julie. Julie rasa dirinya sering tersisih, semua orang sayangkan Rokiah. Rokiah yang mendengar apa yang dikatakan oleh Julie, menerangkan apa yang dikatakan oleh Julie itu tak benar. Sejak dari kecil, Rokiah selalu sahaja sakit, disebabkan itu, ibu bapa mereka lebih menjaga Rokiah, berbanding adiknya Julie. Malah sewaktu di sekolah, ibu bapanya sering memantau pelajaran Rokiah, kerana Rokiah lemah dalam pelajaran, tak seperti Julie yang pintar. Malah dulu, ibu bapa mereka mengambil keputusan untuk menjodohkan Rokiah dengan lelaki yang disukai oleh Julie, kerana bagi mereka lelaki tersebut lebih sesuai dengan Rokiah. Bagi ibu bapa mereka, Julie patut mendapat lelaki yang jauh lebih baik, yang sepadan dengan Julie yang cantik dan pintar, bukan lelaki kampung. Julie terharu mendengar apa yang dikatakan oleh Rokiah. Julie meminta maaf kepada kakaknya. Manakala Rokiah juga meminta maaf, kerana dia selalu menyalahkan Julie, setiap kali Julie cuba menyentuh soal anak-anaknya. Rokiah mengaku, dia bukan seorang ibu yang sempurna, dia tidak setegas Julie, disebabkan itu anak sulungnya gagal dalam pelajaran dan jadi kutu rayau. Setelah Rokiah dan Julie berbaik-baik, mereka bersama-sama mencari anak perempuan Rokiah yang hilang. Mereka mencari segenap kampung, dengan dibantu oleh anak sulung Rokiah, yang telah sedar dari kesilapannya. Akhirnya mereka menemui anak perempuan Rokiah sedang berlari di atas batas sawah, sambil membuat bunyi yang pelik dan mengetuk batang kayu. Rupa-rupanya anak perempuan Rokiah buat begitu untuk menghalau burung-burung daripada makan padi di sawah ibunya. Kerana dia sering mendengar ibunya merungut tentang padi di sawah yang sering dimakan oleh burung. Rokiah, Julie dan anak-anak Rokiah, saling berpelukan dan menangis. Akhirnya mereka semua berlari di atas batas sawah padi, sambil membuat bunyi yang pelik, bagi menghalau burung-burung. Untuk pertama kalinya keluarga itu bersatu hati.

 

 

 

Watak & Perwatakan

Zarina Zainuddin sebagai Rokiah

Seorang wanita kampung berusia 40-an. Telah lama kematian suami. Tinggal bersama anak lelakinya (berusia 18 tahun) yang bermasalah dan seorang anak angkat (OKU). Merupakan seorang ibu dan kakak yang penyayang. Seorang yang suka memendam perasaan dan menyembunyikan penyakit yang dihidapinya. Seorang yang berjiwa lembut dan tabah.

 

Sharifah Shahira sebagai Julie

Seorang wanita berusia lewat 30-an. Cantik, bergaya dan pintar. Seorang pengusaha produk kosmetik. Lebih selesa dengan kehidupan di bandar daripada kampung. Telah 12 tahun tinggalkan kampung halaman. Seorang yang tegas tetapi berjiwa sensitif. Seorang yang agak kasar dan cakap lepas. Menyimpan perasaan dendam terhadap kakaknya sendiri. Rasa disisihkan oleh keluarga sejak dari kecil.

Leave a Reply