Harta | Kool FM
Home > Dramatik Kool > Harta > Harta

Logline

“Apabila sebuah kepulangan yang dinanti-nantikan berakhir dengan kematian, mampukah ‘harta’ yang ditinggalkan itu menebus segala kekecewaan, dan membawa mereka ke masa depan?”

 

Sinopsis

Cikgu Ihsan merupakan seorang guru muda yang mengajar di sebuah sekolah yang terletak di pedalaman. Sekolah tempat Cikgu Ihsan mengajar sangat daif dan kekurangan murid, kerana rata-rata penduduk di situ tidak mementingkan pelajaran kepada anak-anak mereka. Cikgu Ihsan sendiri bergelut dengan konflik dalaman, sama ada ingin meneruskan usahanya mendidik anak-anak penduduk di situ, atau pun berhijrah ke sekolah lain. Cikgu Ihsan terpaksa menempuh pelbagai cabaran seorang diri dan masyarakat pula seakan-akan meminggirkannya. Namun begitu terdapat sebuah keluarga yang sangat baik dan selalu membantu Cikgu Ihsan. Keluarga tersebut terdiri daripada Mak Bayu, Pak Alok dan anak mereka Bambu. Mak Bayu dan Pak Alok mempunyai seorang lagi anak iaitu Apai. Apai telah lama meninggalkan kampung itu, semata-mata untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah. Dalam sejarah kampung mereka hanya Apai seorang sahaja yang berjaya melanjutkan pelajaran lebih daripada tahun enam. Manakala kebanyakan anak-anak kampung terkandas di peringkat sekolah rendah. Sehinggalah pada suatu hari Apai pulang ke kampung setelah berjaya menamatkan pelajaran di universiti. Kepulangan Apai diraikan dan disambut meriah oleh keluarganya. Apai dianggap ‘hero’ kampung tersebut. Malah kepulangan Apai juga sangat dinanti-nantikan oleh Mak Bayu dan Pak Alok, kerana mereka telah menjual segala harta mereka semata-mata untuk membantu Apai mencapai cita-citanya. Apai memberitahu ibunya Mak Bayu bahawa dia pulang membawa ‘harta paling berharga’ yang akan mengubah nasib keluarganya dan penduduk kampung. Mak Bayu dan Pak Alok sangat gembira kerana mereka yakin Apai akan mendapatkan semula apa yang telah mereka gadaikan semata-mata untuk membiayai pelajaran Apai. Malah mereka sangat berharap, Apai akan membantu mereka membayar segala hutang mereka kepada penduduk kampung. Malangnya kegembiraan keluarga Mak Bayu dan Pak Alok tidak bertahan lama. Sejak pulang ke kampung Apai seakan-akan tidak sihat. Pada suatu hari Apai jatuh sakit dan meninggal dunia. Belum sempat Apai berbakti kepada keluarganya, Apai telah pergi menyahut seruan Ilahi. Mak Bayu dan Pak Alok seperti kehilangan arah. Satu-satunya anak yang mereka harapkan, kini telah tiada. Orang kampung mula hilang keyakinan terhadap keluarga Mak Bayu dan Pak Alok. Tidak lama kemudian Pak Alok pula jatuh sakit. Keadaan Pak Alok sangat tenat. Pak Alok perlukan rawatan, tetapi malangnya dukun di kampung tersebut enggan mengubati Pak Alok, atas alasan keluarga Mak Bayu dan Pak Alok telah banyak berhutang dengannya. Sewang Supik memberikan syarat, dia inginkan bayaran jika Mak Bayu ingin dia mengubati Pak Alok. Mak Bayu sangat kecewa. Tiba-tiba Mak Bayu teringatkan ‘harta berharga’ yang dibawa pulang oleh Apai. ‘Harta’ tersebut masih tersimpan di dalam sebuah bekas buluh dan tidak pernah diusik oleh sesiapa pun. Mak Bayu ingat lagi kata-kata Apai, bahawa ‘harta’ itu akan mengubah nasib mereka. Fikir Mak Bayu, pasti ‘harta’ itu sangat bernilai. Pada suatu hari Mak Bayu meminta pertolongan daripada Cikgu Ihsan supaya temankan dia ke kota. Mak Bayu ingin ke kota untuk menjual ‘harta’ yang ditinggalkan oleh Apai. Setelah dipujuk dan simpati dengan nasib Mak Bayu, Cikgu Ihsan sudi temankan Mak Bayu ke kota. Bermulalah perjalanan mencabar yang dilalui oleh Cikgu Ihsan dan Mak Bayu. Untuk keluar dari kampung tersebut, mereka terpaksa meredah hutan, menuruni bukit dan lurah. Perjalanan Mak Bayu dan Cikgu Ihsan memakan masa berhari-hari. Akhirnya mereka sampai di kota. Mak Bayu dan Cikgu Ihsan terus menuju ke kedai pajak gadai untuk menjual ‘harta’ tersebut. Malangnya pekerja pajak gadai menolak mentah-mentah ‘harta’ tersebut. Mak Bayu mengamuk dan pengsan. Mak Bayu dimasukkan ke hospital. Cikgu Ihsan berjanji untuk tolong jual ‘harta’ tersebut. Berjayakah mereka menjual ‘harta’ tersebut? Dan apakah sebenarnya ‘harta’ yang ditinggalkan oleh Apai kepada keluarganya. Segalanya terjawab dalam Dramatik Kool Ogos ‘Harta’.

 

Watak & Perwatakan

Cikgu Ihsan (Azrel Ismail)

Seorang cikgu lelaki berumur 20-an. Mengajar di kawasan pedalaman. Seorang yang kuat semangat, walaupun ada masanya rasa putus-asa kerana usahanya sering dipandang remeh oleh penduduk kampung. Seorang yang baik hati dan suka menolong. Sanggup berkorban mengajar di kawasan pedalaman semata-mata untuk memberikan ilmu kepada anak bangsa. Seorang yang jujur dan berterus-terang.

 

Mak Bayu (Fauziah Nawi)

Seorang wanita berusia lewat 50-an, merupakan penduduk pribumi dan tinggal di kawsaan pedalaman. Merupakan seorang isteri dan ibu yang penyayang. Bekerja keras untuk membantu anaknya menamatkan pelajaran di universiti. Sanggup menggadaikan hartanya demi untuk orang yang tersayang. Seorang yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan tidak mudah putus-asa. Seorang yang naif dan kurang pengetahuan tentang dunia luar. Mudah percaya dan lurus bendul.

Leave a Reply